Thursday, May 21, 2009

SIFAT DAN CIRI AJARAN SESAT

SIFAT-SIFAT & CIRI-CIRI AJARAN SESAT ( 1 )
  1. Ajaran-ajaran sesat mempercayai bahawa kuasa-kuasa ghaib dan luar biasa itu ada juga pada selain Allah s.w.t. Maksudnya, kuasa-kuasa itu boleh ada pada manusia yang dianggap alim atau wara' atau wali yang dipercayai boleh mengetahui perkara-perkara yang ghaib-ghaib dan mempunyai kuasa yang di luar kemampuan manusia.
  2. Ajaran dilakukan secara tidak berterang-terangan, bersembunyi, rahsia atau penyampaiannya hanya kepada ahli-ahli kumpulan sahaja.

  3. Ajaran yang meletakkan ketua atau sheik atau pak guru ke taraf yang amat tinggi melebihi had yang biasanya untuk manusia, atau meletakkan ketua atau sheik atau pak guru ke taraf wali atau wakil Nabi Muhammad s.a.w. Wujud arahan supaya menghormati sheik itu dan meyakini bahawa tidak akan berhasil sesuatu maksud kecuali dengan usaha atau kekuasaan beliau.
  4. Ajaran agar tidak memberi perhatian kepada guru-guru yang lain kerana ia akan menghalang atau menyekat dari mendapat sesuatu dari sheiknya dan tertutup limpah kurnia Allah kepadanya.

  5. Tidak boleh mengkritik dan menegur sesuatu perbuatan yang dilakukan sheikhnya sekali pun nyata perbuatan itu haram. Juga seorang pengikut itu tidak boleh menyoal sheikhnya mengenai apa-apa perbuatannya.
  6. Adanya dakwaan bahawa sheikhnya adalah keturunan Rasullullah s.a.w. tanpa salasilah yang jelas yang dapat dibuktikan.
  7. Keyakinan bahawa tiap-tiap berkat yang didapati di dunia dan akhirat adalah hasil atau disebabkan oleh berkat sheikhnya.

  8. Larangan membuka rahsia mengenai ajaran kumpulan itu kerana mengikut kepercayaan kumpulan tersebut, pengikut-pengikut yang membuka rahsia, maka mereka itu akan ditimpa bahaya.
  9. Tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita yang disukai oleh sheikhnya demikian juga tidak boleh berkahwin dengan balu sheikhnya.
  10. Hendaklah menghadirkan rupa guru pada setiap kali berdoa dan meminta daripada beliau limpahnya dan menghilangkan was-was.
SIFAT-SIFAT & CIRI-CIRI AJARAN SESAT ( 2 )
  1. Ajaran yang menjalankan istiadat yang dikatakan berzikir, beribadat atau bersuluk yang caranya berlawanan dengan adap yang diluluskan oleh agama Islam atau dengan cara yang pelik-pelik seperti mesti melakukan amalan tersebut dalam keadaan gelap, berselubung, percampuran lelaki dan perempuan & menggunakan perkataan yang tidak difahami seperti hu....hu....hu....

  2. Ajaran yang memberi hak milik & kuasa muthlak kepada ketua, sheikh atau pak guru untuk menguasai harta pengikut-pengikut serta anak isteri mereka.
  3. Ajaran yang menggunakan kebolehan merawat penyakit secara ajaib, menolong menyampaikan hajat-hajat besar pengikut-pengikut dengan cara yang seolah-olah keramat sebagai suatu daya tarikan.
  4. Ajaran yang menggunakan syarat-syarat tertentu, yang dikenakan kepada murid-muridnya, umpamanya bayaran $500 yang perlu diserahkan kepada Tok Guru atau sheikh sendiri.

  5. Guru dan anggota ajaran sesat biasanya menghina, mencaci kesilapan serta merendahkan kebolehan dan ilmu para alim ulama Islam. Mereka menuduh para alim ulama Islam yang ada hari ini hanya membesar-besarkan soal zahir sahaja dan tidak membongkar rahsia-rahsia yang ada dalam hukum-hukum ibadat. Ada juga tuduhan bahawa para alim ulama Islam hari ini "menyembunyikan ajaran Islam yang sebenar".

    Tujuan mereka mencaci dan menuduh para alim ulama Islam ialah supaya para alim ulama Islam dipandang rendah dan hina oleh penganut-penganut ajaran sesat. Bila racun hasutan sudah masuk dalam jiwa mereka, maka penganut-penganut atau anggota-anggota ajaran itu menjadi begitu taasub dan taat kepada pak guru atau pak sheikh. Bahkan mereka sanggup berkorban apa yang diperlukan oleh pak guru yang mursyid itu, walaupun nyawa mereka sekali pun. Waktu itu jika ada orang-orang menegur atau menyalahkan ajaran dan amalan yang diberikan oleh pak guru mereka, biasanya mereka akan bertindak secara kekerasan.

  6. Dalam perkara-perkara yang berhubung dengan syariat Islam, seperti Al-Qur'an, As-Sunnah, rukun-rukun Islam dan Iman serta yang lain-lainnya, mereka mendakwa bahawa setiap yang zahir ada pula yang batin. Biasanya kumpulan ajaran sesat ini mendakwa hanya merekalah yang mengetahui ilmu hakikat dan ilmu isi.

  7. Menggalakkan penggunaan tangkal dan azimat dalam ajaran dan amalan.
  8. Mengijazahkan ilmu pada larut malam.
  9. Adanya dakwaan bahawa ajaran diterima melalui ilham, ilmu laduni yang dapat terus dari Allah s.w.t., dalam mimpi atau solat hajat.
  10. Guru yang mendakwa sebagai Imam Mahdi, Nabi Isa dan wali-wali yang memiliki keramat.
  11. Guru yang mendakwa dirinya maksum ( terpelihara dari dosa ).

  12. Mentafsir Al-Qur'an berdasarkan pemikiran sendiri tanpa ilmu dan kelayakan yang diperlukan, dan tafsirannya amat jauh dan berbeza dari pandangan ulama-ulama yang muktabar.
  13. Guru mendakwa sebagai pengganti Rasullullah s.a.w.
  14. Guru mendakwa bahawa ia menerima wahyu dari Allah Taala.
  15. Ajaran bahawa masih ada nabi/rasul selepas Nabi Muhammad s.a.w.
  16. Ajaran wujudnya percamtuman agama - Islam, Kristian dan Yahudi.

  17. Ajaran menunaikan haji ke tempat lain selain dari Mekah.
  18. Dakwaan bahawa guru boleh menjelma sebagai Rasullullah s.a.w. atau para sahabat khususnya Khulafa' Ar-Rasyidin.
  19. Dakwaan dapat berhubung terus dengan Allah s.w.t.
  20. Dakwaan pernah bertemu & didatangi oleh malaikat Jibril atau malaikat-malaikat yang lainnya.
  21. Dakwaan dirinya sebagai malaikat.

  22. Dakwaan tahu akan ketibaan Hari Kiamat.
  23. Dakwaan mempunyai ilmu kebal.
  24. Larangan dari bernikah dengan mereka yang bukan ahli kumpulan.
  25. Mengajar sesuatu melalui proses menurun.
  26. Ajaran yang memberi penekanan kepada memperolehi bantuan dari orang yang mati atau kubur-kubur.

  27. Dakwaan pernah berdialog dengan Nabi Noh, Musa dan lain-lain.
  28. Dakwaan dapat menunjukkan syurga dan neraka.
  29. Ajaran yang membatalkan solat Jumaat.
  30. Menafikan keislaman orang yang di luar kumpulan.
  31. Ajaran tidak menggunakan buku yang muktabar tetapi hanya berdasarkan nota-nota tulisan tangan dan rajah-rajah.
Ada 4 guru ajaran sesat yang mengaku menjadi rasul setelah Nabi Muhammad s.a.w. seperti :-
  • Mirza Gulam Ahmad - ( Qadiani )
  • Mirza Ali Muhammad bin Mirza Ridza Al-Bazzaz - ( Bahai )
  • Mokhtar bin Hassan - ( Crypto )
  • Muhammad Tahir - ( Ajaran Tauhid makrifat )

No comments:

Post a Comment

Post a Comment