Thursday, May 21, 2009

DOA DAN FADHILAT

FADHILAT AL-FATIHAH
Rasullullah telah bersabda yang bermaksud :

"Fatihatul kitab (surah al fatihah) adalah ubat bagi segala racun"

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
(1) الرَّحْمـنِ الرَّحِيمِ (2) مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ (3) إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (4) اهدِنَـا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ (5) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ | 6

  1. Untuk Penawar Racun & Kala Jengking

    Isilah gelas dengan sedikit air yang dicampur dengan sedikit garam. Bacakanlah surah al Fatihah 7 kali pada air di dalam gelas itu. Kemudian berilah orang yang disengat lipan itu minum dan usapkanlah sedikit di bahagian sengatan tadi. Insyaallah dengan ikhtiar itu racun yang ada di dalam badan akan menjadi tawar sehingga cepat sembuh kembali.

  2. Untuk Menghilangkan Sifat Lupa

    Tulislah surah al Fatihah pada bekas air seperti gelas, piring, dan lain-lain) yang bersih lagi suci. Lalu tuangkanlah air ke dalamnya supaya tulisan itu terhapus. Kemudian berilah minum kepada orang yang selalu pelupa. Insya Allah usaha ini akan berhasil dengan kesabaran.

  3. Untuk Penyembuhan Segala Penyakit

    Ambillah sebaldi air lalu dibacakan surah ini kepada air itu sebanyak 40 kali. Kemudian basuhlah kedua tangan, kedua kaki, muka,kepala dan seluruh anggota badan sampai rata dengan air itu. Insya Allah dengan ikhtiar ini, penyakit yang dialami akan sembuh. Lakukanlah berkali-kali.

  4. Untuk Penyembuhan Penyakit Mata

    Bacalah surah ini 41 kali sehabis sembahyang subuh kepada orang yang sakit mata. Kemudian usapkanlah ke mata pesakit dengan sedikit air ludah iaitu selepas membaca al Fatihah. Insya Allah akan sembuh dengan berkah yang ada pada surah al Fatihah ini.


FADHILAT AL-IKHLAS

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
(1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ | 4

Mulakan bacaan dengan ayat - "Au zubillah himinashsyaitan nirrajim.....bismillahirrahmannirrahim".

Tafsirannya : Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.

Sebelum anda masuk rumah, bacalah ayat di atas, kemudian bacalah surah Al-Ikhlas (iaitu ayat: Qulhuwallahu ahad. Allahussamad. Lam yalid walam yu-lad. walam yakul lahu kufuwan ahad.) sebanyak 3 kali. Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut.

Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga.

Demikian diterangkan dalam ( Tadzikaratul Qurthuby ).Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya : Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangka masa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat. Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu.

Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali.Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran. Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan.

Sabda Rasulullah SAW lagi : Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s.

FADHILAT AL-KURSI

اللّهُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلاَ يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلاَّ بِمَا شَاء وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ وَلاَ يَؤُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ | 255

  • Orang yang membaca ayat al-Kursi selepas memyempurnakan solat fardhu akan dipelihara oleh Allah sehingga solat berikutnya

  • Allah swt akan menghantar dua malaikat untuk memelihara orang yang membaca ayat al-Kursi ketika berada di tempat pembaringan sehingga waktu subuh

  • Orang yang membaca ayat al-Kursi selepas solat fardhu akan memelihara keluarga, juga rumah-rumahnya yang berhampiran dengannya. Boleh juga dimaksudkan terpelihara daripada binatang yang mudharat, bencana alam, kebakaran, dan jahat angkara manusia. Maka Rasulullah s.a.w menyuruh setiap arang agar melakukan sesuatu perbuatan dengan menyebut nama Allah oleh kerana iblis dan syaitan tidak berupaya mengangkat atau membuka sesuatu yang di tutup dengan meyebut nama Allah

  • Allah tidak menegah mereka yang membaca ayat al-Kursi selepas solat fardhu masuk dalam syurga

  • Barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan membaca ayat al-Kursi, maka Allah utuskan tujuh puluh ribu malaikat kepadanya, mereka memohon keampunan dan mendoakan baginya

  • Barang siapa membacanya nescaya Allah mengutuskan malaikat untuk menulis kebaikannya dan menghapuskan keburukannya dari detik itu sampai esok hari

  • Barang siapa membacanya, Allah akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid

  • Barang siapa yang membacanya ketika dalam kesempitan atau kesusahan, Allah akan menolongnya


  • TANDA-TANDA DIGANGGU JIN

    TANDA-TANDA PADA WAKTU TIDUR
    1. Sangat susah tidur pada waktu malam, kalaupun dapat tidur sudah lama bersusah payah.
    2. Rasa cemas dan sering terbangun pada waktu malam.
    3. Mimpi yang buruk atau mimpi melihat sesuatu yang menakutkan serta ingin memekik untuk meminta pertolongan akan tetapi tidak sanggup.
    4. Mimpi yang sangat menyeramkan.
    5. Mimpi melihat berbagai macam binatang seperti melihat kuching, anjing, unta, ular, singa, serigala atau tikus.
    6. Gigi geraham yang berbunyi pada waktu tidur.
    7. Tertawa, menangis atau memekik pada waktu tidur.
    8. Berperasaan sedih pada saat tidur.
    9. Berdiri serta berjalan ketika tidur tanpa sedar.
    10. Mimpi seolah-olah akan jatuh dari tempat yang tinggi.
    11. Mimpi sedang berada di kuburan, ditempat pembuangan sampah atau tempat yang mengerikan.
    12. Bermimpi melihat orang sangat aneh, seperti sangat tinggi, sangat pendek atau sangat hitam.
    13. Bermimpi melihat hantu.
    TANDA-TANDA PADA WAKTU SEDAR ATAU JAGA
    1. Kepala selalu pusing, yang tidak disebabkan oleh penyakit pada dua mata, telinga, hidung, gigi, tekak atau perut.
    2. Selalu lupa dari zikir Allah, solat dan ketaatan lainnya.
    3. Fikiran yang kacau / Selalu lesu dan malas / Saraf yang tersumbat.
    4. Rasa sakit pada salah satu anggota badan sedangkan doktor perubatan tidak sanggup mengubatinya.
    MACAM-MACAM GANGGUAN JIN
    1. Gangguan sepenuhnya, iaitu jin mengganggu seluruh badan seperti orang yang mengalami berbagai macam saraf yang tersumbat.
    2. Gangguan tidak secara keseluruhan, iaitu jin mengganggu salah satu dari anggota badan, seperti tangan, kaki atau lidah.
    3. Gangguan yang berterusan, iaitu jin terus berada dalam tubuh seseorang sehingga memakan waktu yang sangat lama.
    4. Gangguan seketika, iaitu tidak lebih dari beberapa detik seperti seseorang yang mengalami mimpi buruk.
    DIANTARA PENYEBAB GANGGUAN JIN :
    1. Jin lelaki kadangkala jatuh cinta kepada orang perempuan dan kadangkala jin perempuan jatuh cinta kepada orang lelaki.
    2. Kerana kezaliman manusia terhadap mereka, seperti menumpahkan air panas atau menimpakan sesuatu barang dari tempat yang tinggi.
    3. Kezaliman yang dilakukan oleh makhluk jin kepada manusia tanpa sesuatu sebab tertentu. Yang berhubungan dengan prekara ini jin tidak akan dapat menganggu manusia kecuali manusia itu dalam keadaan : Sangat marah, Sangat takut, Sangat lalai dan Mempunyai nafsu syahwat yang tinggi.
    SEBAB-SEBAB MASUKNYA JIN KE DALAM DIRI MANUSIA
    Kadang-kadang terjadinya gangguan jin kepada manusia adalah dikeranakan syahwat, hawa nafsu dan mabuk cinta, keadaan ini sama seperti yang dialami manusia. Ada pula kadangkala manusia dan jin melakukan perkahwinan serta mempunyai anak. Perkara yang demikian banyak terjadi dan banyak pula ulama' yang membicarakannya.

    Berlakunya perkara tersebut adalah disebabkan kebencian atau pembalasan oleh kerana ia disakiti sebahagian manusia, atau makhluk jin ini menyangka bahawa sebahagian manusia sengaja menyakitinya dengan cara mengencingi mereka, menumpahkan air panas, atau membunuh mereka, padahal manusia tidak mengetahuinya. Dikalangan makhluk jin juga ada yang bodoh, ada yang zalim, sehingga mereka menjatuhkan hukuman dengan cara yang tidak patut, keadaan ini sebagaimana juga yang kita jumpai dalam kehidupan manusia yang bodoh.

    Jika keadaan tersebut terjadi, perbuatan yang demikian itu adalah merupakan perbuatan yang keji dan dilarang oleh Allah SWT. Justeru itu perkara ini haruslah dijelaskan kepada jin tersebut dengan mengatakan bahawa perbuatan mereka itu dalah perbuatan keji yang diharamkan. Penjelasan seperti ini perlu dijelaskan kepada mereka supaya mereka tahu bahawa pada diri mereka akan berlaku hukuman Allah dan Rasul-Nya yang diutus kepada semua makhluk manusia dan makhluk jin.

    Kepada mereka juga harus dijelaskan, bahawa manusia tersebut tidak mengetahui dan tidak sengaja menyakiti mereka sehingga tidak patut untuk dihukum. Jika mereka melakukan hal itu di rumah atau di kerajaan mereka maka mereka dibolehkan atau bebas bertindak. Sedangkan mereka tidak mempunyai hak untuk tinggal di tempat kediaman manusia tanpa izin dari mereka, mereka hanya berhak tinggal di tempat-tempat kosong yang bukan menjadi tempat tinggal manusia.

    CARA JIN MASUK KE DALAM TUBUH MANUSIA.
    Jin adalah sejenis makhluk berwujud udara sedangkan manusia memiliki lubang bulu roma, kerana itulah dia dapat masuk ke dalam tubuh manusia dari bahagian manapun juga. Makhluk jin diciptakan dari zat yang sejenis udara sebagaimana firman Allah : Ertinya,"Dan Allah menciptakan jin dari api yang menyala". ( Ar-Rahman: 15 ) Dalam hal ini Ibn Abbas berkata: Iaitu dari hujung nyalanya api, sedangkan hujung nyalanya api adalah merupakan udara panas yang keluar dari api.

    Ketika jin masuk ke dalam tubuh manusia, makhluk ini langsung menuju ke otak, melalui otak ini dia dapat mempengaruhi bahagian mana saja yang dia sukai dari tubuh manusia. Para doktor perubatan telah mengkaji dan membuktikan bahawa orang yang terkena penyakit kerasukan jin memiliki gelombang otak yang sangat halus dan sangat aneh yang ada di dalam otaknya. Ditambah lagi dengan keterangan dari orang yang ahli tentang cara pengubatan orang yang kerasukan jin, bahawa jin itu memberitahunya bahawa mereka berada di otak manusia.

    PERLINDUNGAN TERHADAP GANGGUAN.

    1. Sentiasa berzikir dan bertaqarrub kepada Allah dengan memperbanyakkan istighfar. Ini adalah kerana apabila seseorang semakin bertambah dekat dengan Allah maka syaitan akan semakin menjauinya.
    2. Mengucapkan "Bismillah" pada setiap kesempatan, iaitu ketika :-
      • Hendak melompat dari tempat yang tinggi.
      • Terjumpa sesuatu di atas tanah.
      • Memasuki tempat yang menakutkan seperti tempat yang gelap, sunyi dan kosong.
    3. Berzikir kepada Allah pada waktu-waktu tertentu. Seperti pada waktu pagi, petang ataupun pada waktu makan.
    4. Tidak membunuh ular yang bersada di dalam rumah kecuali telah memohon kepada Allah agar ia keluar dari rumah.
    5. Tidak mendengar nyanyian ataupun seruling yang dapat mengundang syaitan dan menimbulkan perbuatan zina. Yakni, nyanyian yang dapat merangsang nafsu seseorang.
    6. Tidak memandang wanita dengan penuh nafsu dan juga tidak berdua-duaan dangan wanita yang bukan muhrimnya.
    7. Jangan tinggal di rumah kosong yang sudah lama tidak dihuni orang, di kawasan perkuburan dan tempat-tempat kotor lainnya. Jangan menunaikan solat sewaktu matahari terbit dan terbenam.
    8. Jangan membuang air kencil merata-rata atau di lubang binatang.
    9. Jangan sekali-kali menyeksa dan menyakiti anjing atau kucing.
    10. Hindarkan dari melakukan perbuatan maksiat. Perbuatan maksiat itu adalah senjata ampuh bagi syaitan.


    CARA MELAKUKAN PENGANIAYAAN

    Cara-cara Untuk Melakukan Penganiyaan.
    Terdapat berbagai cara yang di lakukan oleh orang-orang yang dengki tersebut, supaya matlamat yang mereka impikan tercapai, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak serta bersusah payah memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Tok Bomoh tersebut untuk menjayakan penganiayaan mereka. Antaranya :-

    A) Menanam barang-barang Hikmat
    Setelah mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini orang tersebut mestilah menanam barang-barang tertentu yang telah di puja dan di jampi oleh Tok Bomoh, seperti minyak dagu, minyak berpuja ( minyak orang mati di bunuh ) telur ayam, kulit kerbau balau yang mati di panah petir, tulang orang mati, tulang babi, tulang kongkang, kulit babi, besi bath siam, tahi besi, paku, rambut, gigi, patung siam, tanah kubur, tengkorak, batu tokong siam atau tokong Hindu, serpihan batu asah dan sebagainya di tempat-tempat yang biasa di duduki dan dilalui oleh orang yang di sakitinya itu seperti di rumah, di dalam pasu bunga, depan pintu, dekat pagar, kepala simpang jalan, di selit di tempat-tempat sulit samada di rumah, di pejabat, di kedai, di dinding, bawah rumah, dalam kenderaan atau jika barang tersebut jenis debu seperti abu orang mati, maka ia di tabur di sekeliling rumah orang tersebut dan sebagainya. Jika barang hikmat itu berupa minyak berpuja kebiasaannya di sapu di tiang rumah, kedai, kenderaan, pakaian dan sebagainya.

    B) Memuja gambar
    Terdapat juga cara untuk menganiayai orang lain dengan cara memuja gambar orang yang ingin di khianati seperti gambar tersebut di seru dan di jampi serta di cucuk-cucuk dengan jarum atau di gantung di sesuatu tempat yang berangin supaya sentiasa berbuai. Selain gambar, alat-alat badan seperti pakaian, baju dalam atau seluar dalam seseorang juga boleh digunakan sebagai alat untuk memuja dan menganiayai seseorang terutamanya dalam penganiayaan yang berkaitan dengan masalah cinta , rumah tangga dan kasih sayang.

    C) Tuju melalui angin/makanan
    Pengkhianatan juga boleh dilakukan dengan cara membuat tuju kepada orang yang di sakiti dan di hantar melalui angin contohnya seperti santau angin atau dengan memuja tengkorak orang mati di rumah Tok Bomoh dengan di tuju dan di kasadkan kepada orang yang dihajatinya. Penganiayaan juga boleh dilakukan dengan memasukkan sesuatu hikmat kedalam makanan dan minuman seseorang.

    D) Memuja Patung sebagai penganti orang yang di aniayai
    Pemujaan patung yang di puja dan dikasadkan kepada orang yang dihajati juga kerap dilakukan oleh orang-orang yang dengki dengan tujuan untuk memporak perandakan kehidupan orang tersebut. Patung-patung tersebut di cucuk dengan jarum atau duri nibung dang sebagainya dengan tujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan.

    Kesan dan Akibat ke atas diri mangsa.
    Setelah syarat-syarat yang di minta oleh Tok Bomoh makan upah ini di penuhi dan semua peraturannya diikuti maka akan berlaku sesuatu keatas orang yang dihajati oleh si pengupah tersebut. Antara kesan dan tanda-tanda bahawa seseorang tersebut telah menjadi mangsa Tok Bomoh makan upah ini ialah antaranya :-

    1. Badan sentiasa sakit menyucuk-nyucuk, anggota terasa panas, bisa seluruh badan atau sebahagian daripada badan, badan terasa kebas dan sebagainya.
    2. Perasaan menjadi resah dan gelisah, tidak boleh tidur malam, sering bermimpi yang buruk dan mengerikan, terdapat lebam-lebam bewarna biru seperti kena tokok ditempat-tempat tertentu pada badan.
    3. Orang yang dianiayai akan menjadi gila, hilang ingatan, tidak siuman, mereng dan seumpamanya.
    4. Sering meracau-racau, ketawa mengilai-gilai atau bercakap seorang diri.
    5. Mengalami sakit kepala sebelah samada di sebelah kanan atau kiri.
    6. Rahim terasa sakit dan kadang-kala terasa seperti hendak jatuh
    7. Badan terasa berat seperti ada benda di atas belakangnya dan kadang-kala terasa seperti ada sesuatu yang mencakar-cakar belakangnya.
    8. Sentiasa terkenang atau teringat seseorang dan terasa hendak lari dari rumah.
    9. Tidak boleh duduk dalam rumah, dalam kedai atau di pejabat sebab terasa panas dan serabut.
    10. Selalu tidak sedarkan diri dan pengsan.
    11. Kadang-kala si mangsa berbau busuk di merata-rata tempat.
    12. Perut mangsa menjadi buncit tanpa apa-apa penyakit. ( kata orang busung )
    13. Kadang-kala kemaluan dirasakan telah berpindah ketempat lain seperti berada di dahi, sedangkan orang lain tidak dapat melihatnya.
    14. Terdengar suara atau bisikan yang memanggil atau menyuruhnya melakukan sesuatu seperti memukul seseorang, membunuh orang, membunuh diri sendiri atau bisikan yang mengatakan " kamu akan mati tidak lama lagi dan sebagainya.
    15. Rumah tangga sentiasa bergelora dan perkelahian antara suami isteri sentiasa berlaku.
    16. Sentiasa menolak pinangan yang datang meminang jika mangsa tersebut anak gadis, jika anak teruna mereka enggan berkahwin sampai ke tua.
    Tok Bomoh yang mengambil upah untuk menganiayai orang lain ini amatlah besar dosanya dan telah menjerumuskan dirinya kelembah kekafiran begitu juga orang-orang yang mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh-Tok Bomoh dari jenis ini. Kedua-dua belah pihak sama-sama menjadi kafir dan akhirnya sama-sama akan dihumbankan kedalam neraka di hari Khiamat kelak. Oleh itu sebagai umat Islam kita mestilah menjauhkan diri daripada Tok Bomoh-Tok Bomoh yang seperti ini. Anggaplah segala sesuatu yang berlaku keatas diri kita itu adalah merupakan takdir dan Qada dan Qadar daripada Allah. Semua kejadian itu adalah atas kehendak Allah, tentu ada hikmah dan nikmat di sebalik semua kejadian tersebut, jangan suka menaruh perasaan dendam, cemburu dan iri hati, kerana perasaan tersebut akan merusakkan diri kita sendiri. Serahlah segala-galanya kepada Allah serentak melalui lidah, anggota, hati yang dinamakan dengan ucapan doa, teguh cita-cita dan usaha ikhtiar, kerana Dialah yang lebih berkuasa dan lebih Mengetahui segala-galanya.

    Mempelajari ilmu Sihir, beramal dengannya untuk menyakiti dan mengkhianati sesama manusia, bererti mereka telah mempelajari ilmu sesat ( kufur ), berada dalam kesesatan ( kekufuran ), beramal dengan kesesatan ( kufur ), mati dalam sesat ( kufur ) dan kekal sebagai ahli neraka, selagi mana mereka tidak kembali kepada agama Islam dengan ucapan dua khalimah syahadat serta taubat nasuha. Segala amalan baiknya itu akan dipindahkan oleh Allah kepada orang yang dikhianatinya. Segala kejahatan mereka yang di sihir itu di campakkan oleh Allah keatas diri penyihir sebagai tambahan kepada kejahatan yang sedia ada. Jika ditakdirkan mereka yang dianiayai itu meninggal dunia, oleh sebab beradat melalui ilmu sihirnya, maka mati orang yang di sihir itu sebagai ahli fitrah ( syurga ) dengan syarat dia telah menerima penyakit tersebut dengan penuh sabar dan bergantung harap kepada kebesaran dan keagungan Allah dengan penuh kesabaran dan penuh redha.








    TANDA BOMOH MENGGUNAKAN JIN

    Tanda-Tanda Tok Bomoh Menggunakan Khadam / Jin Dalam Perubatan
    Kebanyakan daripada orang-orang Melayu sangat mempercayai Tok Bomoh sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara Tok Bomoh yang hak dan yang batil ( yang menggunakan pertolongan Khadam dalam pengubatan mereka ). Keadaan ini berlaku kerana mereka jahil tentang ajaran Islam yang sebenarnya, oleh itu mereka mudah di tipu oleh lakunan yang dimainkan oleh Tok Bomoh palsu ini. Sebagai panduan diperturunkan serba ringkas contoh-contoh Tok Bomoh yang menggunakan pertolongan khadam dalam pengubatan mereka. Antara tanda-tanda tersebut dapat kita lihat melalui salah satu dari perkara-perkara berikut, antaranya :-

    A ) Cara berpakaian semasa mereka berjampi.
    Biasanya semasa berjampi Tok Bomoh atau Tok Pawang yang bersahabat dengan khadam ini memakai pakaian khas, antaranya seperti :-

    • Memakai baju dan seluar yang bewarna hitam dengan melilit kain hitam di kepala atau memakai tengkolok bewarna hitam dan sebagainya.
    • Memakai jubah. Kadangkala bewarna putih dan kebiasaanya bewarna kuning, kononnya dia dari keturunan raja. Terdapat juga yang memakai jubah hijau kononnya beliau bersahabat dengan Jin Islam.
    • Terdapat juga yang berpakaian baju Melayu, berkain pelikat dan bersongkok atau berketayap.
    • Ada juga yang berambut panjang, yang kononnya beliau berketurunan dari Jawa, Sumatera dan sebagainya.
    B ) Mengubat Pesakit dengan Cara Menurun/Menyelap.
    Sebelum menurun biasanya Tok Bomoh akan membaca beberapa serapah, jampi atau mentera tertentu dan ada kalanya membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Terdapat juga yang memegang keris dan mengasapkanya pada asap kemian. Dalam beberapa saat sahaja masuklah Jin ke dalam tubuh Tok Bomoh tersebut. Ada yang mengeletar, ada yang berguling-guling dan sebagainya, ketika di masuki oleh Jin khadam mereka itu.

    Suara dan raut wajah mereka juga akan bertukar. Sesetengahnya kelihatan sangat tua dan berkedut, manakala suara mereka juga terketar-ketar dan sangat perlahan dan adakalanya susah untuk di fahami, ini kerana Jin sahabat mereka itu sudah tua. Matanya kadang-kala pejam dan suka tunduk ke bawah. Suara juga sudah berubah dan mengikut jenis dan dari tempat mana Jin itu berasal. Kalau Indonesia, ia akan bercakap bahasa Indonesia atau bahasa Jawa, begitulah seterusnya. Biasanya ucapan Jin tersebut di mulai dengan katanya " Assalamualaikum, apa hajat cucu ku datang ke mari / memanggil ku ? "

    C) Tanpa Menurun / Menyelap.
    Terdapat juga Tok Bomoh yang mempunyai khadam daripada gulungan Jin yang memanggil Jin khadam mereka tanpa menurun. Cara rawatan tersebut dapat dilakukan dengan berbagai cara antaranya :-

    • Dengan meletakkan air, limau dan sintuk atau barang-barang lain yang difikirkan perlu di hadapannya.
    • Terdapat juga Tok Bomoh jenis ini yang menilik terlebih dahulu, seperti dengan menggunakan limau dan menggolekkanya atau membelahnya kemudian dilepaskan kedalam air dan melihat limau tersebut samada terbalik atau tertiarap. Mereka juga kadangkala menggunakan mangkuk putih yang diisikan dengan air sambil menilik dan membuat ramalan. Terdapat juga Tok Bomoh yang menggunakan jarum yang diletakkan di atas air dan jarum tersebut akan berpusing dan sebagainya.
    D) Membelah Batin.
    Pertolongan daripada khadam juga digunakan oleh Tok Bomoh-Tok Bomoh yang dapat membelah batin pesakitnya tanpa menggunakan sebarang alatan pembedahan seperti pisau dan sebagainya. Walaupun kadang-kala Tok Bomoh jenis ini juga menggunakan pisau tetapi tiada kesan luka yang dapat di lihat di badan pesakit. Pesakit akan merasai seolah-olah seperti di bedah dan dapat merasai kesan darah dan sebagainya. Setelah selesai melakukan pembedahan batin ini, Tok Bomoh tersebut biasanya akan menggunakan daun sireh atau limau nipis untuk menyempurnakan pembedahan ghaibnya.

    Sebenarnaya kita boleh menggunakan Khadam dalam melakukan pekerjaan kita dengan syarat-syarat berikut, antaranya :-

    1. Tidak terikat dengan mana-mana syarat daripada Khadam
    2. Tidak menggunakan Tanasukh Aruah ( Menurun )
    3. Kelakuan yang tidak menyalahi syarak ketika melakukan rawatan
    4. Perawat telah mantap pegangan dan kefahaman Akidah, Akhlak dan Syariat.
    Sebenarnya tidaklah salah jika kita ingin menjadi Tok Bomoh, tok dukun atau Mak Bidan, malahan Islam juga menggalakkan umatnya menceburi Bidang tersebut, kerana Bidang tersebut merupakan salah satu daripada Fardhu Kifayah tetapi biarlah cara dan amalan serta kaedahnya itu merupakan sesuatu yang diharuskan oleh syarak dengan mengikuti contoh yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, bukannya yang di terima melalui mimpi, menggunakan pertolongan khadam yang terdiri daripada para Jin dan sebagainya.

    Tok Bomoh yang Makan Upah.
    Terdapat sejenis Tok Bomoh lagi yang amat bahaya dalam masyarakat Melayu, yang kerjanya hanyalah untuk menimbulkan kesusahan dan huru hara kepada orang lain. Tok Bomoh jenis ini lebih di kenali sebagai Tok Bomoh yang makan upah. Tok Bomoh jenis ini kebiasaannya mempunyai khadam daripada golongan Jin Islam yang fasik dan Jin Kafir serta kuncu-kuncu mereka.

    Mereka menggunakan perkhidmatan Jin-Jin tersebut untuk menganiayai manusia lain atas sebab-sebab tertentu, antaranya seperti iri hati, hasad dengki atau cemburu atas kejayaan orang lain samada dalam bidang perniagaan, pekerjaan, persekolahan atau marah kepada orang atasan kerana tidak terpilih untuk kenaikan pangkat atau tidak memenangi tender dan sebagainya. Terdapat juga mereka yang menggunakan Tok Bomoh jenis ini bagi membalas dendam sebab sakit hati kerana di hina, di kutuk atau kerana senda gurau yang berlebihan.

    Terdapat juga sesetengah orang yang menggunakan perkhidmatan Tok Bomoh ini semata-mata kerana marah atau benci kepada orang lain di sebabkan kekayaan orang tersebut atau iri hati melihat orang tersebut lebih berada daripadanya atau marah kerana kesombongan orang lain terhadapnya dan lain-lain lagi.

    Kebanyakan kes yang dijadikan alasan oleh sesetengah orang yang mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini kebiasaanya berhubung dengan masalah rumah tangga contohnya seperti untuk menundukkan suami atau isteri yang terlalu garang, meruntuhkan rumah tangga orang lain, supaya dirinya nampak cantik dan di sayangi oleh suami ( dalam kes si suami yang berpoligami ), kerana pinangannya di tolak oleh pihak keluarga wanita atau kekasihnya di rampas oleh lelaki lain dan sebagainya.




    AMALAN PENGAMAL ILMU SIHIR

    Amalan Pengamal Ilmu Sihir
    Berikut adalah di antara amalan-amalan yang dilakukan oleh tukang-tukang sihir atau pengamal ilmu hitam untuk mendekatkan diri mereka kepada syaitan-syaitan jin :-
    1. Mengikat mashaf al Quran di bawah kedua tapak kakinya (dijadikan selipar) kemudian di bawa masuk berjalan ke dalam tandas.
    2. Menulis ayat-ayat al Quran dengan najis, kotoran atau darah haid di bawah dua belah seliparnya.
    3. Menulis ayat-ayat al Fatihah secara terbalik.
    4. Bersolat tanpa berwuduk dan kadang-kadang dalam keadaan berjunub.
    5. Melakukan penyembelihan semata-mata kerana syaitan dan tidak menyebut nama Allah ketika meyembelihnya dan hasil sembelihan itu diletakkan di tempat-tempat tertentu sebagai persembahan khusus bagi syaitan
    6. Melakukan pemujaan terhadap matahari,bulan atau bintang di langit dan mengabdikan diri hanya objek tersebut dan tidak kepada Allah S.W.T.
    7. Mengadakan hubungan kelamin dengan ibu kandung atau anak perempuannya sendiri.
    8. Melumurkan tahi ke seluruh tubuh dan tidak boleh mencucinya selama beberapa hari atau tempuh tertentu.
    9. Memuja kuburan dan memanggil ruh ruh
    10. Memuja tengkorak mayat orang mati terbunuh atau kanak kanak
    Kesannya terhadap Pengamal Ilmu Sihir

    Semasa Masih Hidup

    1. Hidupnya sentiasa bermasalah
    2. Berniaga tidak menjadi, buatlah kerja apapun tidak akan berjaya, seolah-olah ada sahaja yang menghalang
    3. Banyak halangan dalam pekerjaan yang diceburi.
    4. Sering sakit yang pelik-pelik yang tidak dapat di kesan oleh doktor seperti histeria, gila isim, panas baran, dapat anak yang cacat dan huduh rupanya, selalu tidak sedarkan diri, sakit kepala bila tiba waktu pagi, waktu matahari jatuh, keluarga selalu berkelahi, di ganggu mimpi ngeri dan menakutkan dan sebagainya.
    5. Hilang anak dalam kandungan hasil tumpangan Jin semasa melakukan persetubuhan dan sebagainya.
    Di Saat-saat Kematian.
    Saat kematian orang yang bersahabat dengan Jin biasanya amat menyulitkan kerana kesukaran untuk melepaskan diri daripada khadam Jin yang telah sekian lama menjadi teman karibnya. Antara syarat-syarat untuk kematian atau memudahkan kematiannya iaitu bagi membolehkan Jin khadamnya keluar ialah :-
    1. Perlu membuka perabung rumah
    2. Mesti mencungkil lantai rumah
    3. Menyapu sedikit tanah ke muka pesakit
    4. Membubuh ranting kering di atas dada si sakit
    5. Membuat kuih tujuh jenis dan di panahkan ke bukit
    6. Memecahkan dinding rumah si sakit
    7. Meletakkan si sakit di rumah kosong.
    Kematian.
    Kadang-kadang berlaku juga kejadian yang aneh-aneh ke atas si sakit yang bersahabat dengan Jin ini sewaktu kematiannya. Antara kejadian-kejadian tersebut adalah seperti ;-
    1. Mati sudah dua atau tiga hari tetapi masih kelihatan hidup dan sangat kuat makan, bila sudah mati mayat itu telah berbau busuk dan reput.
    2. Mayat ditumbuhi bulu yang banyak
    3. Mayat di bawa lari oleh puak-puak Jin
    4. Mata dan mulut mayat kelihatan ternganga dan kelihatan ngeri
    5. Selepas kematiannya kadang kala didapati diri si mati itu ( sebenarnya Jin peliharaannya ) balik semula kerumah dan ada yang tidur serta bersetubuh dengan isterinya. ( pada sangkaan si isteri, bahawa suaminya itu hidup semula atau bekas suaminya itu keramat atau wali )
    6. Sesetengah mayat pula selepas kematiannya hilang di bawa lari oleh Jin peliharaannya ke dalam hutan untuk santapan puak-puak Mereka.
    Pantang Larangnya.
    Pewaris keturunan ini atau penerima amalan ini tidak boleh melanggar pantang larang yang telah ditetapkan, kerana akibat yang buruk akan terjadi ke atas dirinya atau ke atas keluarganya. Antara pantang larang tersebut ialah :-
    1. Tidak boleh pakai kain masuk melalui kepala
    2. Tidak boleh lalu di bawah penyidai kain
    3. Tidak boleh menziarahi jenazah
    4. Tidak boleh makan atau minum di kedai orang kafir
    5. Tidak boleh meninggalkan bacaan serampah atau jampi
    6. Tidak boleh sembahyang di masjid atau berjemaah
    7. Tidak boleh masuk ke rumah dengan kaki kanan
    8. Tidak boleh memakan benda-benda bernyawa dan sebagainya.
    KESIMPULANNYA

    Ringkasnya dari keterangan-keterangan yang telah di kemukakan di atas jelaslah bahawa berkawan dan bersahabat dengan Jin memberi banyak keburukan kepada manusia samada semasa mereka masih hidup, apatah lagi setelah mereka meninggal dunia. Tidak kira apa juga niat dan sebab mereka menjadikan Jin sebagai sahabat atau Khadam mereka.

    Menurut sesetengah ulama, berkawan denagan Jin boleh menyebabkan manusia dan Jin yang menjadi sahabatnya itu, jika Jin tersebut terdiri dari pada Jin Islam, sama-sama menjadi kafir dan kedua-duanya akan di humbankan oleh Allah kedalam Neraka. Keadaan ini berlaku kerana manusia yang bersahabat dengan Jin merasa Takbur dan lupa daratan kerana mereka memiliki kuasa yang luar biasa yang tidak boleh di miliki oleh manusia lain dan apa-apa yang mereka hajati dapat diperolehi melalui pertolongan Jin tersebut. Mereka juga menganggap mereka lebih berkuasa daripada Allah dan menyuruh manusia lain meminta pertolongan hanya kepada mereka sahaja Perbuatan ini menyebabkan mereka Syirik kepada Allah kerana meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah, sedangkan Syirik merupakan suatu dosa yang amat berat dan tidak akan di ampun oleh Allah.

    Manakala Jin yang menjadi Khadam manusia, menjadi kafir pula kerana mereka juga telah Takbur kepada Allah kerana seronok di sanjung dan di puja oleh manusia. Kadang-kala Jin tersebut juga mengaku mereka adalah tuhan dan menyuruh manusia menyembahnya dengan mengadakan majlis-majlis tertentu seperti Jamu Jin setahun sekali, kenduri, sembelih kambing, korbankan sesuatu kepada Jin dan sebagainya, jika inginkan pertolongan dari mereka.

    ILMU KEBATINAN-CARA MENUNTUT

    ILMU KEBATINAN dengan MENUNTUT ( 1 )
    Menuntut bererti mempelajari ilmu secara khusus dan sedar yang dilakukan dengan tunjuk ajar guru. Kaedah untuk membela hantu raya ialah untuk dijadikan "khadam", dengan menyediakan sebiji telur ayam mentah yang ditebuk dengan jarum berserta dengan setitik darah orang yang berkenaan. Darah diambil dari jari kelingking tangan kiri, dititikkan berhampiran lubang. Bahan lain ialah sekepal pulut kuning, sebatang rokok daun dan sekepal nasi. Tempat yang dipilih untuk memanggil hantu ialah di mana-mana busut jantan, jauh daripada manusia yang dilakukan di tengah malam.

    Ungkapan kata menyeru makhluk ini berbunyi :-

    • Hei si hantu raya
      Jembalang angin
      Aku tahu asalmu
      Engkau dari bulu hidung Nabi Adam
      Makanan engkau telur ayam
      Mari engkau
      Mari makan benda-benda ini.

      Hei si hantu raya
      Mari kau bersahabat
      Mari menjaga diriku
      Engkau taat perintahku
      Ikut segala perintahku.

      Hei si hantu raya
      Menyerupa engkau serupa aku
      Menyerupa engkau dalam diriku
      Jangan engkau langgar perintahku
      Jikalau engkau engkar
      Aku panah engkau
      Dengan panah berpanah
      Panah sakti
      Panah rajuma

    Amalan ini dilakukan selama tiga malam berturut-turut. Malam terakhir adalah malam penentu, samada hasrat seseorang itu berjaya atau tidak. Makhluk ini kadang-kadang datang menjelma balam-balam sebentar di atas bahan jamuan yang diletakkan di hadapannya. Ketika itulah orang yang berkenaan memberitahu maksud ia memanggil makhluk tadi, juga berjanji akan memberi makan, samada sekali dalam sebulan, sekali seminggu dan sebagainya, sekiranya makhluk tadi mahu "berkhidmat" untuknya.

    Orang yang berkenaan mula-mula akan merasa sejuk pada ibu jari kakinya, ataupun ibu jari tangannya, lalu akhirnya rasa tadi meresap ke seluruh tubuh. Ini bererti bahawa makhluk tersebut telah masuk ke dalam tubuh orang yang berkenaaan, samada melalui ibu jari kaki ataupun ibu jari kanan. Ia akan pulih sepeti sedia-kala apabila makhluk itu keluar dari tubuh. Dengan ini maka terjalinlah hubungan antara orang yang berkenaan dengan hantu raya tadi, lalu ia menyuruh makhluk itu mengikutinya balik ke rumah.


    ILMU KEBATINAN dengan MENUNTUT ( 2 )
    Di antara tujuan seseorang itu membela hantu raya ialah untuk menjaga diri, keluarga, dan harta benda, termasuk binatang ternakan dan hasil tanaman daripada diganggu atau dicuri. Dengan penglibatan makhluk ini juga, seseorang itu dikatakan boleh menjadi kebal.

    Hantu raya akan menurut perintah tuannya dengan syarat ia dijamu terlebih dahulu, sebelum melakukan sesuatu perintah. Di antara jamuan yang perlu disajikan ialah pulut kuning, sekapur sirih pinang, telur ayam, bertih nasi dan rokok daun.Terdapat ungkapan kata tertentu dalam upacara pemanggilan itu, dan jika disertakan dengan pembarakan kemenyan, hantu raya akan lebih cepat datang dan segera mengerjakan apa yang disuruh.

    Untuk membinasakan seseorang, samada musuh ataupun orang yang tidak dikenali, ungkapan-ungkapan yang dituturkan berbunyi :-

    • Hei anakku si hantu raya
      Engkau rasuk sianu
      (dengan menyebut nama mangsa beserta nama ibunya)
      Engkau makan hati perut dia
      Jikalau engkau tidak pergi
      Rasuk, makan hati perut dia
      Aku sumpah engkau
      Derhaka engkau pada Allah
      Derhaka engkau pada Muhammad
      Derhaka engkau kepada aku.
    Makhluk belaan ini juga perlu bersiap sedia untuk menjaga keselamatan diri tuannya ketika ia hendak berjalan. Di bawah ini diperturunkan satu ungkapan kata, sebagai contoh yang digunakan untuk tujuan tersebut.
    • Hei anakku si hantu raya
      Engkau bersiap-siap
      Aku hendak jalan
      Ataslah engkaulah menjaga diriku
      Jangan engkau derhaka kepada aku
      Derhaka engkau pada Muhammad
      Derhaka engkau pada Allah

    Amalan di atas, dilakukan dengan sengaja bertujuan untuk membela hantu raya, yang dilakukan dengan kaedah tertentu menurut apa yang diajar oleh guru. Rangkaian kata yang dituturkan ketika memanggil hantu raya inilah yang disebut sebagai "panggilan" atau "pemujaan". Hantu raya yang difahami oleh masyarakat Melayu adalah termasuk dalam golongan jin kafir, samada iblis atau syaitan. Dengan ini bererti bahawa amalan yang dilakukan oleh orang yang berkenaan adalah amalan memuja atau memanggil syaitan. Nama "HANTU RAYA" adalah diantara nama hantu yang biasa difahami oleh orang Melayu yang dikaitkan dengan hantu belaan. Nama ini tidak wujud dalam Al-Qur'an.

    Terdapat kata-kata dusta dalam ungkapan tersebut, yang menyebut asal usul hantu raya, iaitu daripada "Bulu Hidung Nabi Adam". Berumpankan telur ayam yang ditebuk menggunakan jarum dan diletakkan darah orang yang berkenaan, makhluk ini dipuja untuk menjadi sahabatnya. Persahabatan seperti ini adalah seburuk-buruk persahabatan seperti yang tersebut dalam al-Qur'an ( Sebahagian dari Surah An-Nisaa - Surah 4 : Ayat 38 )

    وَمَن يَكُنِ الشَّيْطَانُ لَهُ قَرِينًا فَسَاء قِرِينًا | 38

    Barang siapa syaitan itu menjadi temannya, maka syaitan itu adalah seburuk-buruk teman.

    PERINGATAN !!! Pemujaan di atas ini hanya untuk dijadikan sempadan, tidak harus dipraktikkan !!!..... subhanallah.

    Cara-cara untuk menjadi Tukang atau Ahli Sihir
    Untuk menjadi Tukang atau Ahli Sihir atau lebih dikenali sebagai Tok Bomoh oleh Masyarakat Melayu, adalah melalui berbagai cara dan jalannya. Iaitu :-
    1. Melalui warisan, iaitu turun-temurun dari nenek moyangnya atau saka-baka, di mana ilmu ini telah dipelajari oleh datuk-nenek atau keturunannya terlebih dahulu atau pernah atau telah menjadi Ahli Sihir ( Tok Bomoh ). Lalu setelah mereka meninggal dunia, dengan secara tidak langsung ilmu itu akan mengalir terus ke dalam badan anak-cucu mereka pula.
    2. Mereka telah didatangi oleh Jin-Jin yang menyerupai rupa datuk-neneknya dalam mimpi dan memberitahunya supaya membaca ayat-ayat, jampi-jampi atau mentera-mentera tertentu. Kemudian diamalkannya ayat-ayat itu lalu datanglah Jin-Jin sebagai Khadamnya untuk memberi pertolongan.
    3. Melalui bacaan :- Wirid, ayat-ayat, jampi-serapah atau doa-doa tertentu yang diamalkannya.
    4. Melalui amalan-amalan dari seni mempertahakan diri iaitu Pencak Silat ataupun Kuda Kepang yang dipelajari atau ditunututnya.
    5. Melalui pertapaan - tidak kiralah di dalam hutan, gunung-ganang, gua, perigi buta, kubur dan sebagainya sehingga dikunjungi Jin-Jin yang berhasrat bagi menghasilkan hajatnya.
    6. Meniru tanpa berguru – samada dari Tok Guru atau Ahli Sihir lalu atau melihat cara orang lain membuat perubatan lalu mencubanya.
    7. Melalui Berguru yang memelihara Jin-Jin, lalu diajarkan dan diamalkannya melalui kitab-kitab tertentu atau secara bersendirian.
    Peralatan Pemujaan oleh Tukang atau Ahli Sihir
    Peralatan yang sering digunakan untuk pemujaan Jin dikalangan Masyarakat Melayu ialah seperti brikut :-
    1. Pemujaan Kubur
      Adalah sebahagian dari amalan yang diamalkan oleh Ahli Sihir. Mereka percaya penghuni kubur itu boleh membantunya untuk menghasilkan hajat yang diperlukannya. Terutama sekali penghuni kubur itu sendiri adalah seorang Ahli Sihir. Diharapkan dapat diberikan pertolongan atau kekuasaan dan ilmu kebatinan.

      Sambil itu semasa pemujaan, ada jamuan yang disediakan seperti ayam panggang, pulut kunyit, bertih, pisang emas dan sebagainya, yang dikatakan mereka untuk menjamu Jin tetapi pada hakikatnya mereka telah tertipu dengan permainan Jin yang ingin menyesatkan mereka.

    2. Keris, Lembing dan Limau
      Memang telah dikaitkan dalam Masyarakat Melayu sebagai senjata seni mempertahanan diri, kekuatan, kemegahan dan lambang kemashuran. Pada Ahli Sihir keris tersebut harus dimandikan dengan limau dan diasapkan dengan kemenyan serta dibalut dengan kain kuning atau hitam.

      Pemujaan keris ini selalunya dibuat pada malam jumaat dituruti dengan mantera dan jampi tertentu. Pada Ahli Sihir pemujaan itu dapat memberikan kekuatan keris tersebut, supaya penjaga keris itu tidak mengganggu mereka malah dapat membantu mereka.

    3. Ancak
      Diperbuat daripada buluh yang agak sama dengan sangkak. Ada juga Ancak yang diperbuat dari pada daun pisang yang diisi dengan pulut kuning bertih, ketupat dan sebagainya. Ancak juga digunakan untuk jamuan Jin keturunan atau Jin penjaga kampong. Yang dikatakan dapat menjaga kampong dan anak-anak kampong.

    4. Sanggu
      Atau sampan selalunya diperbuat daripada upih pinang atau seludang kelapa. Upih atau seludang yang digunakan mestilah yang jatuh dari pokok dalam keadaan tercacak pada pangkal pokok yang mesti di ambil pada waktu senja. Waktu membuat sanggu pula mestilah pada waktu tengah malam, mengadap ke arah matahari naik dan hendaklah di asap dengan kemenyan dan di baca mentera atau jampi tertentu.

      Tujuan pemujaan Jin ini adalah untuk memuja Jin keturunan atau saka. Perkakas dan alat untuk jamuan Jin yang di isi di dalam sanggu ini ialah, antaranya pulut kuning, ayam panggang, bertih, beras kunyit dan sireh pinang. Di tengah-tengah sanggu itu dipacakkan layar, lilin di letakkan di hujung dan di belakang sanggu. Kemudian sanggu tersebut di layarkan sebagai jamuan bagi Jin-Jin keturunannya.

    5. Sangkak
      Diperbuat daripada buluh dengan mengikut syarat-syarat tertentu. Di atasnya diletakkan seekor ayam panggang yang telah mengikut syarat-syarat tertentu ataupun pulut kuning dan bertih sebagai jamuan Jin yang dihajatinya, samada Jin keturunannya atau Jin penjaga kampung supaya jangan menggangu keluarga atau kampong mereka. Kemenyan dibakar sebagai bauan wangi yang sangat di sukai oleh Jin yang juga menjadi syarat utama untuk memanggil Jin tersebut.

      Ada dua cara menguna dan meletakkan sangkak ini. Jika sangkak tersebut di buat untuk keselamatan keluarga maka ianya dibuat dan diletakkan di dalam rumah dengan di ikuti oleh majlis tahlil dan sebagainya. Jika sangkak tersebut di buat untuk menjaga kampung pula maka ianya di letakkan di tepi hutan atau di pinggir kampung dengan bacaan mentera dan jampi serapah tertentu dan kadang-kadang di sembelih pula seekor kambing atau kerbau.

    6. Pemujaan Tanduk Kerbau
      Sering dijadikan bahan pemujaan yang mempercayai akan kuasa yang ada padanya. Selalunya digunakan dalam majlis-majlis tertentu seperti pertabalan pangkat atau meraikan sesuatu majlis. Pemujaan tanduk kerbau ini digunakan sebagai alat pemujaan untuk menyeru Jin dan sebagai makanan atau jamuan kepada Jin. Tujuannya supaya Jin itu tidak menggangu kampung atau anak cucu mereka.

      Biasanya tanduk tersebut diletakkan di tempat yang tertentu yang di atasnya di nyalakan lilin. Kain warna kuning atau merah di mahkotakan di bahagian kepala, sementara di sekelilingnya dihidangkan dengan kuih muih, pulut kuning, bubur merah dan lain-lain lagi. Ahli Sihir akan memulakan upacara dengan membaca mentera atau jampi serapah untuk memanggil Jin berkenaan. Jika Jin itu datang, ia akan memasuki tubuh ahli sihir dan akan mengatakan sesuatu sesuatu atau memberi nasihat atau amaran kepada mereka.

    Kesimpulannya pemujaan-pemujaan seperti berikut adalah amat bertentangan dengan agama Islam. Ia adalah semata-mata perbuatan Khurafat yang mesti kita jauhi untuk kebahagian hidup kita di dunia dan akhirat. Keselamatan, kesihatan dan rezeki semua telah di tentukan oleh Allah s.w.t dan bukannya bersebab dari upacara pemujaan tersebut. Hanya orang-orang yang sesat sahaja yang masih percaya kepada kuasa-kuasa pemujaan dan perkara-perkara Khurafat tersebut lah yang memberi sebab kepada keselamatan, kesihatan dan keselamatan mereka.


    PERINGATAN !!! Pemujaan di atas ini hanya untuk dijadikan sempadan, tidak harus dipraktikkan !!!..... subhanallah.


    SIFAT DAN CIRI AJARAN SESAT

    SIFAT-SIFAT & CIRI-CIRI AJARAN SESAT ( 1 )
    1. Ajaran-ajaran sesat mempercayai bahawa kuasa-kuasa ghaib dan luar biasa itu ada juga pada selain Allah s.w.t. Maksudnya, kuasa-kuasa itu boleh ada pada manusia yang dianggap alim atau wara' atau wali yang dipercayai boleh mengetahui perkara-perkara yang ghaib-ghaib dan mempunyai kuasa yang di luar kemampuan manusia.
    2. Ajaran dilakukan secara tidak berterang-terangan, bersembunyi, rahsia atau penyampaiannya hanya kepada ahli-ahli kumpulan sahaja.

    3. Ajaran yang meletakkan ketua atau sheik atau pak guru ke taraf yang amat tinggi melebihi had yang biasanya untuk manusia, atau meletakkan ketua atau sheik atau pak guru ke taraf wali atau wakil Nabi Muhammad s.a.w. Wujud arahan supaya menghormati sheik itu dan meyakini bahawa tidak akan berhasil sesuatu maksud kecuali dengan usaha atau kekuasaan beliau.
    4. Ajaran agar tidak memberi perhatian kepada guru-guru yang lain kerana ia akan menghalang atau menyekat dari mendapat sesuatu dari sheiknya dan tertutup limpah kurnia Allah kepadanya.

    5. Tidak boleh mengkritik dan menegur sesuatu perbuatan yang dilakukan sheikhnya sekali pun nyata perbuatan itu haram. Juga seorang pengikut itu tidak boleh menyoal sheikhnya mengenai apa-apa perbuatannya.
    6. Adanya dakwaan bahawa sheikhnya adalah keturunan Rasullullah s.a.w. tanpa salasilah yang jelas yang dapat dibuktikan.
    7. Keyakinan bahawa tiap-tiap berkat yang didapati di dunia dan akhirat adalah hasil atau disebabkan oleh berkat sheikhnya.

    8. Larangan membuka rahsia mengenai ajaran kumpulan itu kerana mengikut kepercayaan kumpulan tersebut, pengikut-pengikut yang membuka rahsia, maka mereka itu akan ditimpa bahaya.
    9. Tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita yang disukai oleh sheikhnya demikian juga tidak boleh berkahwin dengan balu sheikhnya.
    10. Hendaklah menghadirkan rupa guru pada setiap kali berdoa dan meminta daripada beliau limpahnya dan menghilangkan was-was.
    SIFAT-SIFAT & CIRI-CIRI AJARAN SESAT ( 2 )
    1. Ajaran yang menjalankan istiadat yang dikatakan berzikir, beribadat atau bersuluk yang caranya berlawanan dengan adap yang diluluskan oleh agama Islam atau dengan cara yang pelik-pelik seperti mesti melakukan amalan tersebut dalam keadaan gelap, berselubung, percampuran lelaki dan perempuan & menggunakan perkataan yang tidak difahami seperti hu....hu....hu....

    2. Ajaran yang memberi hak milik & kuasa muthlak kepada ketua, sheikh atau pak guru untuk menguasai harta pengikut-pengikut serta anak isteri mereka.
    3. Ajaran yang menggunakan kebolehan merawat penyakit secara ajaib, menolong menyampaikan hajat-hajat besar pengikut-pengikut dengan cara yang seolah-olah keramat sebagai suatu daya tarikan.
    4. Ajaran yang menggunakan syarat-syarat tertentu, yang dikenakan kepada murid-muridnya, umpamanya bayaran $500 yang perlu diserahkan kepada Tok Guru atau sheikh sendiri.

    5. Guru dan anggota ajaran sesat biasanya menghina, mencaci kesilapan serta merendahkan kebolehan dan ilmu para alim ulama Islam. Mereka menuduh para alim ulama Islam yang ada hari ini hanya membesar-besarkan soal zahir sahaja dan tidak membongkar rahsia-rahsia yang ada dalam hukum-hukum ibadat. Ada juga tuduhan bahawa para alim ulama Islam hari ini "menyembunyikan ajaran Islam yang sebenar".

      Tujuan mereka mencaci dan menuduh para alim ulama Islam ialah supaya para alim ulama Islam dipandang rendah dan hina oleh penganut-penganut ajaran sesat. Bila racun hasutan sudah masuk dalam jiwa mereka, maka penganut-penganut atau anggota-anggota ajaran itu menjadi begitu taasub dan taat kepada pak guru atau pak sheikh. Bahkan mereka sanggup berkorban apa yang diperlukan oleh pak guru yang mursyid itu, walaupun nyawa mereka sekali pun. Waktu itu jika ada orang-orang menegur atau menyalahkan ajaran dan amalan yang diberikan oleh pak guru mereka, biasanya mereka akan bertindak secara kekerasan.

    6. Dalam perkara-perkara yang berhubung dengan syariat Islam, seperti Al-Qur'an, As-Sunnah, rukun-rukun Islam dan Iman serta yang lain-lainnya, mereka mendakwa bahawa setiap yang zahir ada pula yang batin. Biasanya kumpulan ajaran sesat ini mendakwa hanya merekalah yang mengetahui ilmu hakikat dan ilmu isi.

    7. Menggalakkan penggunaan tangkal dan azimat dalam ajaran dan amalan.
    8. Mengijazahkan ilmu pada larut malam.
    9. Adanya dakwaan bahawa ajaran diterima melalui ilham, ilmu laduni yang dapat terus dari Allah s.w.t., dalam mimpi atau solat hajat.
    10. Guru yang mendakwa sebagai Imam Mahdi, Nabi Isa dan wali-wali yang memiliki keramat.
    11. Guru yang mendakwa dirinya maksum ( terpelihara dari dosa ).

    12. Mentafsir Al-Qur'an berdasarkan pemikiran sendiri tanpa ilmu dan kelayakan yang diperlukan, dan tafsirannya amat jauh dan berbeza dari pandangan ulama-ulama yang muktabar.
    13. Guru mendakwa sebagai pengganti Rasullullah s.a.w.
    14. Guru mendakwa bahawa ia menerima wahyu dari Allah Taala.
    15. Ajaran bahawa masih ada nabi/rasul selepas Nabi Muhammad s.a.w.
    16. Ajaran wujudnya percamtuman agama - Islam, Kristian dan Yahudi.

    17. Ajaran menunaikan haji ke tempat lain selain dari Mekah.
    18. Dakwaan bahawa guru boleh menjelma sebagai Rasullullah s.a.w. atau para sahabat khususnya Khulafa' Ar-Rasyidin.
    19. Dakwaan dapat berhubung terus dengan Allah s.w.t.
    20. Dakwaan pernah bertemu & didatangi oleh malaikat Jibril atau malaikat-malaikat yang lainnya.
    21. Dakwaan dirinya sebagai malaikat.

    22. Dakwaan tahu akan ketibaan Hari Kiamat.
    23. Dakwaan mempunyai ilmu kebal.
    24. Larangan dari bernikah dengan mereka yang bukan ahli kumpulan.
    25. Mengajar sesuatu melalui proses menurun.
    26. Ajaran yang memberi penekanan kepada memperolehi bantuan dari orang yang mati atau kubur-kubur.

    27. Dakwaan pernah berdialog dengan Nabi Noh, Musa dan lain-lain.
    28. Dakwaan dapat menunjukkan syurga dan neraka.
    29. Ajaran yang membatalkan solat Jumaat.
    30. Menafikan keislaman orang yang di luar kumpulan.
    31. Ajaran tidak menggunakan buku yang muktabar tetapi hanya berdasarkan nota-nota tulisan tangan dan rajah-rajah.
    Ada 4 guru ajaran sesat yang mengaku menjadi rasul setelah Nabi Muhammad s.a.w. seperti :-
    • Mirza Gulam Ahmad - ( Qadiani )
    • Mirza Ali Muhammad bin Mirza Ridza Al-Bazzaz - ( Bahai )
    • Mokhtar bin Hassan - ( Crypto )
    • Muhammad Tahir - ( Ajaran Tauhid makrifat )
    SEJARAH PERKEMBANGAN AJARAN SESAT
    Sejarah ajaran sesat di Singapura sudah lama berkembang sejak pada awal tahun 1940-an. PERDAUS iaitu sebuah pertubuhan Melayu Islam ketika dahulu telah mampu meneroka perkembangannya. Pada ketika itu timbul keributan mengenai ajaran Qadiani hasil perdebatan hebat antara Allahyarham Tuan Syed Ahmad Dahlan Al-Husaini dengan guru Qadiani Ghulam Husin, di Onan Road.

    Peristiwa perdebatan di antara Tuan Syed Ahmad Dahlan Al-Husaini dengan guru Qadiani Ghulam Husin, pada tahun 40-an itu, telah mampu meredakan ribut yang ditimbulkan ajaran Qadiani, terutama di kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam yang tinggal di sekitar Joo Chiat Road, Geylang Serai, Katong dan Telok Kurau. Namun ajaran itu masih wujud sehingga hari ini.

    Pada tahun 1950-an, timbullah satu lagi ajaran sesat apabila seorang yang berasal dari Pulau Ambon, Indonesia, mengisytiharkan dirinya sebagai seorang Nabi. Pengisytiharannya sebagai seorang Nabi adalah berlandasan kepada dakwaannya mempunyai salasilah dari keturunan rasul-rasul. Beliau adalah seorang peniaga di Pasar Changi, Geylang.

    Pada tahun 1960-an pula, tersebar pula satu lagi ajaran sesat yang dinamakan "Taslim". Kumpulan ini menggelar diri mereka sebagai masyarakan "Ikhwan". Hidup kumpulan ini terpisah dari masyarakat Islam biasa. Guru kumpulan masyarakat "Ikhwan" ini pernah mengaku dirinya sebagai nabi dan rasul. Ajaran kumpulan ini tersebar di kawasan Joo Chiat Road dan mempunyai cawangannya di beberapa kawasan di Singapura.

    Dan kemudian, seterusnya telah didapati ada banyak lagi ajaran sesat yang sedan berkembang di beberapa kawasan di Singapura ini, iaitu :- Yang dikenali dengan nama "Ilmu Bungkus" di Kampung Woo Mon Chew Road ( Siglap ), Kampung Tongkang Pecah ( Jalan Kayu ), Kampung Thani ( Bukit timah ), Kampung Telok Kurau dan Kampung Kim ( Bukit Timah ). Ajaran sesat Ilmu Bungkus ini pernah didedahkan oleh Perdaus pada 17hb. September 1965, di kawasan Telok Kurau.

    Pada tahun 70-an pula tersebar beberapa ajaran sesat. Antaranya :-

    • Ajaran Agama Sarasakh
      Ajaran Agama Sarasakh ini tidak diketahui dari mana asal-usulnya, tetapi pernah disebarkan secara rahsia di Singapura. Ajaran Agama Sarasakh ini pernah didedahkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura melalui kuthbah Jumaatnya pada 9hb. Mei 1976.

    • Ajaran Ilham Nur Muhammad
      Ajaran Ilham Nur Muhammad ini pernah disebarkan oleh seorang guru ajaran sesat di Kampung Paya, pada tahun 1970-an. Ajaran ini pernah disiasat oleh Majlis Ugama Islam Singapura ( MUIS ).

    • Ajaran Mandi Korban
      Ajaran Mandi Korban ini pernah disebarkan oleh seorang guru secara rahsia di kawasan Jurong. Ajaran Mandi Korban ini pernah didedahkan oleh PERDAUS, dalam satu ceramah yang diadakan di Masjid Al-Muttaqin, Ang Mo Kio pada 25hb. April 1981.

    • Tarikat Mufarridiyah
      Ajaran Tarikat Mufarridiyah ini pernah tersebar luas secara terbuka di beberapa kawasan seperti di Nee Soon, Sembawang dan Kampung Tanjong Irau, sekitar tahun 1972. PERDAUS pernah mendedahkan kesesatan dan penyelewengan ajaran Tarikat Mufarridiyah pada 20hb April 1984 di Masjid Penempatan Melayu, Sembawang.
    Pada awal tahun 1980 hingga ke tahun 1998, ajaran sesat yang dilaporkan dan dikesan di beberapa kawasan di Singapura ialah sepeti tersebut :-
    1. Ajaran Tarikat Rimau
    2. Ajaran Tarikat dan Mengenali diri
    3. Kumpulan Wirid dalam Selimut
    4. Ajaran Hakikat Sembahyang
    5. Tarikatul - Islam
    6. Ajaran Nikah Batin
    7. Ajaran Ilmu Kebatinan
    8. Ajaran Kamilulkamil
    9. Ajaran Tarikat Kabullani
    10. Ajaran Kitab Kamarulhuda
    11. Ajaran Kitab Kasyfulasrar
    12. Ajaran Tauhid Makrifat
    13. Ajaran Hakikat Insan
    14. Ajaran Martabat 7
    Ajaran-ajaran yang tersebut pernah didedahkan oleh PERDAUS pada 27hb Mei 1984 di Masjid Hasanah dan Teban Garden, pada 28hb September 1987 di Masjid Darul Makmur.

    KUMPULAN-KUMPULAN AJARAN SESAT YANG LAINNYA
    Di bawah ini ada 25 senarai nama-nama Kumpulan Ajaran Sesat yang telah bertapak Di Singapura & Di Malaysia sehing sekarang. Ada diantara nama-nama yang tidak dikenali ramai kerana kurangnya pendedahan kepada masyarakat Islam umum. Inilah yang nabi sebut disalah satu hadisnya yang berbunyi,” Umatku akan berpecah kepada 73 golongan keneraka hanya satu kesurga ia itu yang mengikut Sunnahku dan Sunnah Khurafa’ Rashidin.” Hanya Allah Sahaja Yang Maha Mengetahui.

    1. Rafidhah / Syi'ah
    2. Khawarij
    3. Qadariyyah
    4. Mu'tazilah
    5. Jahmiyyah
    6. Murji-ah
    7. Jabariyyah
    8. Musyabbihah
    9. Falaasifah
    10. Asy'ariyyah dan Maturidiyyah
    11. Tashawwuf
    12. Jama’ah Tabligh
    13. Ikhwanul Muslimin
    14. Hizbut Tahrir
    15. Islam Jama’ah
    16. Jama’atul Muslimin
    17. N.I.I.
    18. Isa Bugis
    19. Inkarus Sunnah
    20. Ahmadiyah
    21. Lembaga Kerasulan
    22. Bid’ahnya ajaran-ajaran bai’at
    23. Jama’ah Arqam
    24. Bid’ahnya ajaran Syahadatain
    25. Islam Liberal
    KERATAN AKHBAR & MAJALAH DAN ILUSTRASI & RAJAH MENGENAI AJARAN SESAT

    Klik Go - Keratan-Keratan daripada Akhbar dan Majalah.
    Klik Go - Amalan Sesat - Zikir dalam Selimut ( cara sembahyang ).
    Klik Go - Ilustrasi Pengajaran Sesat - Hakikat Sembahyang dan Buku-Bukunya.
    Klik Go - Pecahan Ayat-Ayat Suci Al-Qur'an oleh Pengamal Ajaran Sesat.



    PENGERTIAN SIHIR

    PENGERTIAN SIHIR
    Sihir tergolong dalam kejahatan yang dikehendaki Allah s.w.t. Wujudnya ia di dunia ini sebagai ujian dan cubaan, walaupun tidak diredhaiNya. Allah s.w.t. melarang manusia melakukannya. Definasi ringkas ialah, "Suatu perbuatan yang dilakukan dengan syarat-syarat yang tertentu, dibawah keadaan dan persiapan-persiapan yang aneh dengan cara-cara yang misterius." Terdapat perbezaan yang tipis antara sihir dengan mukjizat. Mukjizat mengubah sesuatu hakikat ( realiti ) dengan percubaan yang betul-betul terjadi, dan mukjizat inilah yang menjadi rahsia masuk Islamnya para penyihir Fir'aun.

    PUNCA WUJUDNYA ILMU SIHIR
    Sihir telah wujud pada zaman para Nabi. Penggunanya secara berleluasa dapat dilihat pada zaman Nabi Musa a.s. ketika mana Firaun dan pengikutnya telah mencabar kerasulan Nabi Musa a.s. Ketika inilah tukang-tukang sihir telah menggunakan ilmu yang telah dimiliki untuk mencabar mukjizat Nabi Musa a.s.
    Memiliki ilmu sihir menyebabkan seseorang itu akan kelihatan hebat dan berani kerana keyakinan individu terhadap keistimewaan ilmu sihir. Kadang-kadang manusia yang mengamalkannya boleh menggunakan untuk tujuan kejahatan seperti mengenakan sihir kepada orang lain atau membalas demdam kepada seseorang individu.

    BAGAIMANA AHLI SIHIR MENDEKATKAN DIRI KEPADA JIN
    Untuk mendekatkan diri kepada Jin atau Syaitan, para ahli sihir ini ada yang menjadikan Al-Qur'an ( Mushaf ) sebagai alas kaki untuk masuk ke tandas. Ada juga yang menulis sebahagian ayat Al-Qur'an dengan menggunakan kotoran dan najis atau menulisnya dengan darah haid. Ada pula juga yang menulisnya di tapak kaki atau menulis surah Al-Fatihah secara songsang. Menunaikan solat tanpa berwudhuk atau tetap dalam keadaan junub. Menyembelih binatang untuk dipersembahkan kepada jin / syaitan dan menyembelihnya dengan tidak menyebut nama Allah kemudian melemparkannya ke suatu sudut yang telah ditentukan oleh jin / syaitan. Terdapat juga pengamal sihir yang menggauli ibu atau anak perempuannya. Menulis jampi-serapah dengan lafaz yang mengandungi kekafiran.

    Dari sini jelaslah bahawa jin / syaitan tidak akan membantu untuk menjadi khadamnya kecuali dengan satu imbalan atau balasan. Semakin besar kekafirannya itu makin besarlah ketaatan jin / syaitan terhadapnya. Jika si ahli sihir tidak mahu melaksanakan kekafiran-kekafiran yang diperintahkan jin / syaitan tersebut maka ia juga tidak akan bersedia menjadi khadamnya. Sesungguhnya bahwa mereka berdua adalah dua sejoli yang bertemu dalam rangka maksiat kepada Allah. Jika diperhatikan pada wajah ahli sihir itu maka akan kelihatan kegelapan disebabkan oleh kekafirannya.

    Seseorang yang menjadi ahli sihir akan menjalani kehidupan yang penuh dengan sesengsaraan jiwa. Dia tidak dapat tidur dengan tenang, bahkan senantiasa merasa cemas setiap kali tidur di samping memikirkan syaitan-syaitan itu sering menyakiti anak-anak dan isterinya dan menimbulkan pertengkaran di kalangan mereka.

    PERJANJIAN AHLI SIHIR DENGAN JIN
    Di bawah ini adalah surat perjanjian yang diperkatakan antara "seorang ahli sihir dengan wakil syaitan" yang bernama Asmodeus dan tulisan yang terdapat di surat itu adalah tulisan manusia, tetapi copnya ialah Cop Jin.
    Tetapi sebenarnya Jin tersebut telah mempermainkan manusia. Cop yang tertera di surat ini bukan cop perwakilan Iblis, bahkan juga bukan cop 'Ifrit, jenis Jin yang paling perkasa. Ia merupakan cop milik Jin jahat biasa.

    Di bawah ini pula surat perjanjian yang diperkatakan antara "Syaitan dengan O'Ryan Greenfield" seorang ahli sihir dari barat. Sebenarnya surat itu ialah perjanjian otentik antara seorang penyihir dengan empat Jin yang tanda tangan mereka tertera jelas, yang kemudian diperkuat oleh cop 'Ifrit.
    RAHSIA DAVID COPPERFIELD
    David Copperfield sememangnya mengamalkan ilmu sihir. Sebab itulah beliau boleh melakukan apa saja malah boleh terbang. Sebenarnya David Copperfield sangat terkenal di kalangan para Jin. Dia mempunyai perjanjian dengan salah seorang 'Ifrit. 'Ifrit mempunyai pasukan yang ribuan jumlahnya. Merekalah yang mengangkat Copperfield. Agar dia boleh naik sedikit di udara, diperlukan ribuan jin untuk mengangkatnya.
    Dan lagi satu kebolehannya, seorang gadis yang dipotongnya dalam peti itu, adalah jin perempuan yang menampakkan diri dalam wujud seorang gadis manusia. Dia menghilang, kemudian memperlihatkan dirinya kembali tanpa tanda luka sedikit pun. Adalah mungkin Copperfield telah membuat surat perjanjian sama seperti yang diatas. Wallahu a'lam.

    ( Atrikel di atas mengenai Rahsia David Copperfield telah dipetik dari salah satu dari senarai buku rujukan..... kebenarannya tidak dapat saya pastikan, harap maklum )

    CARA AHLI SIHIR MEMANGGIL JIN

    • Cara Pertama : Thariqotul Iqsam
      Bersumpah atas Nama Jin atau Syaitan.
    • Cara Kedua : Thariqatuz Zabhi
      Penyembelihan Binatang.
    • Cara Ketiga : Thariqah Sufliyah
      Melakukan Kenistaan.
    • Cara Keempat : Thariqatun Najasah
      Menulis Ayat-Ayat Al Qur'an dengan Najis.
    • Cara Kelima : Thariqatut Tankis
      Menulis Ayat-Ayat Al Qur'an secara Songsang.
    • Cara Keenam : Thariqatun Tanjim
      Menyembah Binatang.
    • Cara Ketujuh : Thariqatul Kaffi
      Melihat melalui Tapak Tangan.
    • Cara Kelapan : Thariqatul Atsar
      Menggunakan benda Bekas Pakai.