Thursday, May 21, 2009

ILMU KEBATINAN-CARA MENUNTUT

ILMU KEBATINAN dengan MENUNTUT ( 1 )
Menuntut bererti mempelajari ilmu secara khusus dan sedar yang dilakukan dengan tunjuk ajar guru. Kaedah untuk membela hantu raya ialah untuk dijadikan "khadam", dengan menyediakan sebiji telur ayam mentah yang ditebuk dengan jarum berserta dengan setitik darah orang yang berkenaan. Darah diambil dari jari kelingking tangan kiri, dititikkan berhampiran lubang. Bahan lain ialah sekepal pulut kuning, sebatang rokok daun dan sekepal nasi. Tempat yang dipilih untuk memanggil hantu ialah di mana-mana busut jantan, jauh daripada manusia yang dilakukan di tengah malam.

Ungkapan kata menyeru makhluk ini berbunyi :-

  • Hei si hantu raya
    Jembalang angin
    Aku tahu asalmu
    Engkau dari bulu hidung Nabi Adam
    Makanan engkau telur ayam
    Mari engkau
    Mari makan benda-benda ini.

    Hei si hantu raya
    Mari kau bersahabat
    Mari menjaga diriku
    Engkau taat perintahku
    Ikut segala perintahku.

    Hei si hantu raya
    Menyerupa engkau serupa aku
    Menyerupa engkau dalam diriku
    Jangan engkau langgar perintahku
    Jikalau engkau engkar
    Aku panah engkau
    Dengan panah berpanah
    Panah sakti
    Panah rajuma

Amalan ini dilakukan selama tiga malam berturut-turut. Malam terakhir adalah malam penentu, samada hasrat seseorang itu berjaya atau tidak. Makhluk ini kadang-kadang datang menjelma balam-balam sebentar di atas bahan jamuan yang diletakkan di hadapannya. Ketika itulah orang yang berkenaan memberitahu maksud ia memanggil makhluk tadi, juga berjanji akan memberi makan, samada sekali dalam sebulan, sekali seminggu dan sebagainya, sekiranya makhluk tadi mahu "berkhidmat" untuknya.

Orang yang berkenaan mula-mula akan merasa sejuk pada ibu jari kakinya, ataupun ibu jari tangannya, lalu akhirnya rasa tadi meresap ke seluruh tubuh. Ini bererti bahawa makhluk tersebut telah masuk ke dalam tubuh orang yang berkenaaan, samada melalui ibu jari kaki ataupun ibu jari kanan. Ia akan pulih sepeti sedia-kala apabila makhluk itu keluar dari tubuh. Dengan ini maka terjalinlah hubungan antara orang yang berkenaan dengan hantu raya tadi, lalu ia menyuruh makhluk itu mengikutinya balik ke rumah.


ILMU KEBATINAN dengan MENUNTUT ( 2 )
Di antara tujuan seseorang itu membela hantu raya ialah untuk menjaga diri, keluarga, dan harta benda, termasuk binatang ternakan dan hasil tanaman daripada diganggu atau dicuri. Dengan penglibatan makhluk ini juga, seseorang itu dikatakan boleh menjadi kebal.

Hantu raya akan menurut perintah tuannya dengan syarat ia dijamu terlebih dahulu, sebelum melakukan sesuatu perintah. Di antara jamuan yang perlu disajikan ialah pulut kuning, sekapur sirih pinang, telur ayam, bertih nasi dan rokok daun.Terdapat ungkapan kata tertentu dalam upacara pemanggilan itu, dan jika disertakan dengan pembarakan kemenyan, hantu raya akan lebih cepat datang dan segera mengerjakan apa yang disuruh.

Untuk membinasakan seseorang, samada musuh ataupun orang yang tidak dikenali, ungkapan-ungkapan yang dituturkan berbunyi :-

  • Hei anakku si hantu raya
    Engkau rasuk sianu
    (dengan menyebut nama mangsa beserta nama ibunya)
    Engkau makan hati perut dia
    Jikalau engkau tidak pergi
    Rasuk, makan hati perut dia
    Aku sumpah engkau
    Derhaka engkau pada Allah
    Derhaka engkau pada Muhammad
    Derhaka engkau kepada aku.
Makhluk belaan ini juga perlu bersiap sedia untuk menjaga keselamatan diri tuannya ketika ia hendak berjalan. Di bawah ini diperturunkan satu ungkapan kata, sebagai contoh yang digunakan untuk tujuan tersebut.
  • Hei anakku si hantu raya
    Engkau bersiap-siap
    Aku hendak jalan
    Ataslah engkaulah menjaga diriku
    Jangan engkau derhaka kepada aku
    Derhaka engkau pada Muhammad
    Derhaka engkau pada Allah

Amalan di atas, dilakukan dengan sengaja bertujuan untuk membela hantu raya, yang dilakukan dengan kaedah tertentu menurut apa yang diajar oleh guru. Rangkaian kata yang dituturkan ketika memanggil hantu raya inilah yang disebut sebagai "panggilan" atau "pemujaan". Hantu raya yang difahami oleh masyarakat Melayu adalah termasuk dalam golongan jin kafir, samada iblis atau syaitan. Dengan ini bererti bahawa amalan yang dilakukan oleh orang yang berkenaan adalah amalan memuja atau memanggil syaitan. Nama "HANTU RAYA" adalah diantara nama hantu yang biasa difahami oleh orang Melayu yang dikaitkan dengan hantu belaan. Nama ini tidak wujud dalam Al-Qur'an.

Terdapat kata-kata dusta dalam ungkapan tersebut, yang menyebut asal usul hantu raya, iaitu daripada "Bulu Hidung Nabi Adam". Berumpankan telur ayam yang ditebuk menggunakan jarum dan diletakkan darah orang yang berkenaan, makhluk ini dipuja untuk menjadi sahabatnya. Persahabatan seperti ini adalah seburuk-buruk persahabatan seperti yang tersebut dalam al-Qur'an ( Sebahagian dari Surah An-Nisaa - Surah 4 : Ayat 38 )

وَمَن يَكُنِ الشَّيْطَانُ لَهُ قَرِينًا فَسَاء قِرِينًا | 38

Barang siapa syaitan itu menjadi temannya, maka syaitan itu adalah seburuk-buruk teman.

PERINGATAN !!! Pemujaan di atas ini hanya untuk dijadikan sempadan, tidak harus dipraktikkan !!!..... subhanallah.

Cara-cara untuk menjadi Tukang atau Ahli Sihir
Untuk menjadi Tukang atau Ahli Sihir atau lebih dikenali sebagai Tok Bomoh oleh Masyarakat Melayu, adalah melalui berbagai cara dan jalannya. Iaitu :-
  1. Melalui warisan, iaitu turun-temurun dari nenek moyangnya atau saka-baka, di mana ilmu ini telah dipelajari oleh datuk-nenek atau keturunannya terlebih dahulu atau pernah atau telah menjadi Ahli Sihir ( Tok Bomoh ). Lalu setelah mereka meninggal dunia, dengan secara tidak langsung ilmu itu akan mengalir terus ke dalam badan anak-cucu mereka pula.
  2. Mereka telah didatangi oleh Jin-Jin yang menyerupai rupa datuk-neneknya dalam mimpi dan memberitahunya supaya membaca ayat-ayat, jampi-jampi atau mentera-mentera tertentu. Kemudian diamalkannya ayat-ayat itu lalu datanglah Jin-Jin sebagai Khadamnya untuk memberi pertolongan.
  3. Melalui bacaan :- Wirid, ayat-ayat, jampi-serapah atau doa-doa tertentu yang diamalkannya.
  4. Melalui amalan-amalan dari seni mempertahakan diri iaitu Pencak Silat ataupun Kuda Kepang yang dipelajari atau ditunututnya.
  5. Melalui pertapaan - tidak kiralah di dalam hutan, gunung-ganang, gua, perigi buta, kubur dan sebagainya sehingga dikunjungi Jin-Jin yang berhasrat bagi menghasilkan hajatnya.
  6. Meniru tanpa berguru – samada dari Tok Guru atau Ahli Sihir lalu atau melihat cara orang lain membuat perubatan lalu mencubanya.
  7. Melalui Berguru yang memelihara Jin-Jin, lalu diajarkan dan diamalkannya melalui kitab-kitab tertentu atau secara bersendirian.
Peralatan Pemujaan oleh Tukang atau Ahli Sihir
Peralatan yang sering digunakan untuk pemujaan Jin dikalangan Masyarakat Melayu ialah seperti brikut :-
  1. Pemujaan Kubur
    Adalah sebahagian dari amalan yang diamalkan oleh Ahli Sihir. Mereka percaya penghuni kubur itu boleh membantunya untuk menghasilkan hajat yang diperlukannya. Terutama sekali penghuni kubur itu sendiri adalah seorang Ahli Sihir. Diharapkan dapat diberikan pertolongan atau kekuasaan dan ilmu kebatinan.

    Sambil itu semasa pemujaan, ada jamuan yang disediakan seperti ayam panggang, pulut kunyit, bertih, pisang emas dan sebagainya, yang dikatakan mereka untuk menjamu Jin tetapi pada hakikatnya mereka telah tertipu dengan permainan Jin yang ingin menyesatkan mereka.

  2. Keris, Lembing dan Limau
    Memang telah dikaitkan dalam Masyarakat Melayu sebagai senjata seni mempertahanan diri, kekuatan, kemegahan dan lambang kemashuran. Pada Ahli Sihir keris tersebut harus dimandikan dengan limau dan diasapkan dengan kemenyan serta dibalut dengan kain kuning atau hitam.

    Pemujaan keris ini selalunya dibuat pada malam jumaat dituruti dengan mantera dan jampi tertentu. Pada Ahli Sihir pemujaan itu dapat memberikan kekuatan keris tersebut, supaya penjaga keris itu tidak mengganggu mereka malah dapat membantu mereka.

  3. Ancak
    Diperbuat daripada buluh yang agak sama dengan sangkak. Ada juga Ancak yang diperbuat dari pada daun pisang yang diisi dengan pulut kuning bertih, ketupat dan sebagainya. Ancak juga digunakan untuk jamuan Jin keturunan atau Jin penjaga kampong. Yang dikatakan dapat menjaga kampong dan anak-anak kampong.

  4. Sanggu
    Atau sampan selalunya diperbuat daripada upih pinang atau seludang kelapa. Upih atau seludang yang digunakan mestilah yang jatuh dari pokok dalam keadaan tercacak pada pangkal pokok yang mesti di ambil pada waktu senja. Waktu membuat sanggu pula mestilah pada waktu tengah malam, mengadap ke arah matahari naik dan hendaklah di asap dengan kemenyan dan di baca mentera atau jampi tertentu.

    Tujuan pemujaan Jin ini adalah untuk memuja Jin keturunan atau saka. Perkakas dan alat untuk jamuan Jin yang di isi di dalam sanggu ini ialah, antaranya pulut kuning, ayam panggang, bertih, beras kunyit dan sireh pinang. Di tengah-tengah sanggu itu dipacakkan layar, lilin di letakkan di hujung dan di belakang sanggu. Kemudian sanggu tersebut di layarkan sebagai jamuan bagi Jin-Jin keturunannya.

  5. Sangkak
    Diperbuat daripada buluh dengan mengikut syarat-syarat tertentu. Di atasnya diletakkan seekor ayam panggang yang telah mengikut syarat-syarat tertentu ataupun pulut kuning dan bertih sebagai jamuan Jin yang dihajatinya, samada Jin keturunannya atau Jin penjaga kampung supaya jangan menggangu keluarga atau kampong mereka. Kemenyan dibakar sebagai bauan wangi yang sangat di sukai oleh Jin yang juga menjadi syarat utama untuk memanggil Jin tersebut.

    Ada dua cara menguna dan meletakkan sangkak ini. Jika sangkak tersebut di buat untuk keselamatan keluarga maka ianya dibuat dan diletakkan di dalam rumah dengan di ikuti oleh majlis tahlil dan sebagainya. Jika sangkak tersebut di buat untuk menjaga kampung pula maka ianya di letakkan di tepi hutan atau di pinggir kampung dengan bacaan mentera dan jampi serapah tertentu dan kadang-kadang di sembelih pula seekor kambing atau kerbau.

  6. Pemujaan Tanduk Kerbau
    Sering dijadikan bahan pemujaan yang mempercayai akan kuasa yang ada padanya. Selalunya digunakan dalam majlis-majlis tertentu seperti pertabalan pangkat atau meraikan sesuatu majlis. Pemujaan tanduk kerbau ini digunakan sebagai alat pemujaan untuk menyeru Jin dan sebagai makanan atau jamuan kepada Jin. Tujuannya supaya Jin itu tidak menggangu kampung atau anak cucu mereka.

    Biasanya tanduk tersebut diletakkan di tempat yang tertentu yang di atasnya di nyalakan lilin. Kain warna kuning atau merah di mahkotakan di bahagian kepala, sementara di sekelilingnya dihidangkan dengan kuih muih, pulut kuning, bubur merah dan lain-lain lagi. Ahli Sihir akan memulakan upacara dengan membaca mentera atau jampi serapah untuk memanggil Jin berkenaan. Jika Jin itu datang, ia akan memasuki tubuh ahli sihir dan akan mengatakan sesuatu sesuatu atau memberi nasihat atau amaran kepada mereka.

Kesimpulannya pemujaan-pemujaan seperti berikut adalah amat bertentangan dengan agama Islam. Ia adalah semata-mata perbuatan Khurafat yang mesti kita jauhi untuk kebahagian hidup kita di dunia dan akhirat. Keselamatan, kesihatan dan rezeki semua telah di tentukan oleh Allah s.w.t dan bukannya bersebab dari upacara pemujaan tersebut. Hanya orang-orang yang sesat sahaja yang masih percaya kepada kuasa-kuasa pemujaan dan perkara-perkara Khurafat tersebut lah yang memberi sebab kepada keselamatan, kesihatan dan keselamatan mereka.


PERINGATAN !!! Pemujaan di atas ini hanya untuk dijadikan sempadan, tidak harus dipraktikkan !!!..... subhanallah.


No comments:

Post a Comment